PERKIM Dekati Masyarakat Cina Taman Sri Manir, Kuala Terengganu
oleh: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH | susunan: SRZ
foto: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI
KUALA TERENGGANU, 14 OKTOBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Kaum Cina Taman Sri Manir, dekat sini.
Program tersebut mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, PERKIM Cawangan Kuala Nerus, Majlis Belia PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Kelab PERKIM Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading, Jawatankuasa Penduduk Kampung Taman Sri Manir, dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu yang telah berlangsung pada 13 hingga 14 Oktober 2022 dekat sini.
Majoriti penduduk di taman itu terdiri dari komuniti masyarakat berbangsa Cina dengan bertutur menggunakan dialek Hokkien.
Pada hari pertama, urus setia program dengan kerjasama dari pihak JPKK Taman Sri Manir memulakan aktiviti gotong-royong seperti menyusun kedudukan kerusi, pentas serta hiasan di padang manakala kawasan padang juga telah dibersihkan dengan memotong rumput dan membuang sampah.
PERKIM Kebangsaan bersama PERKIM Terengganu, MACMA Terengganu, KPU UniSZA dan JKPP Taman Sri Manir menyampaikan sumbangan berbentuk makanan seperti kicap, sardin, beras, minyak, bihun, biskut dan kopi kepada 50 masyarakat Cina di sekitar Taman Sri Manir.
Sebanyak lapan buah khemah telah dipasang dengan kapasiti bagi memuatkan seramai 220 tetamu.
Pada sebelah malam pula, diadakan forum bertajuk Penghayatan Hidup Bertoleransi dengan kehadiran penduduk Taman Sri Manir terdiri dari kaum Cina dan lain-lain bangsa.
Ahli panel pertama ialah Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Terengganu merangkap Timbalan Pengerusi Tetap PERKIM, YBhg Tuan Haji Abd Ghafar Mamat manakala ahli panel kedua ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu, YBhg Datin Norhana Ng Abdullah dan Sulaiman Ding Yu Zhong selaku Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan merupakan panelis ketiga
Forum tersebut dipengerusikan oleh penulis sendiri, Muhammad Farhan Tee Abdullah dari PERKIM Kebangsaan.
Menurut Abd Ghafar yang juga Ketua Penolong Pengarah, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, penerapan konsep toleransi, ihsan dan kedamaian adalah amat penting di dalam komuniti berbilang bangsa dan agama.
Sirah Nabi Muhammad SAW turut diambil sebagai contoh terdekat dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian negara, di mana Baginda turut berurusan dengan golongan bukan Islam di dalam pelbagai aspek.
Panelis kedua, Norhana turut berkongsi pengalaman hidupnya ketika memeluk Islam dan usaha beliau dalam menyantuni masyarakat Cina di kawasan Kuala Terengganu khususnya.
Beliau telah memeluk Islam selama 38 tahun turut menyentuh isu agama Islam yang dilabel sebagai pengganas oleh pihak media yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan imej agama Islam tercalar.
Manakala Sulaiman Ding turut berkongsi berkenaan sejarah dan kemasukan agama Islam di negara China.
Beliau yang telah berkhidmat Bersama PERKIM Kebangsaan sejak 23 tahun turut berkongsi bagaimana penduduk dari negara China mengembangkan ajaran Islam di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.
Selain itu, diadakan acara cabutan nombor bertuah di mana sebanyak 21 hadiah telah diberikan kepada penduduk Taman Sri Manir.
Penyampaian sumbangan berbentuk barangan dapur juga turut diberikan kepada 25 orang mualaf yang hadir.
Urus setia PERKIM Kebangsaan juga dibawa melawat ke Koperasi PERKIM Terengganu Berhad (KOPTER) di pejabat baharu KOPTER PERKIM Centre (KPC) di Kampung Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang telah dirasmikan pada 2 Oktober 2022 lalu oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Pada keesokan harinya, Sulaiman Ding telah memimpin acara senaman taichi yang dihadiri seramai 20 orang.
Menurut beliau, senaman taichi mempunyai beberapa bentuk, teknik dan seni serta beliau melakukan demonstrasi salah satu daripadanya.
Beliau menasihati senaman taichi dilakukan selepas waktu Subuh, di mana matahari masih belum terbit lagi.
Cara menarik nafas yang betul ketika melakukan senaman ini ialah melalui hidung dan dilepaskan perlahan-lahan melalui mulut.
Turut diadakan pada pagi itu, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dengan melibatkan pengiraan BMI, tekanan darah tinggi, dan ujian kandungan gula dalam darah.
Bagi menambahkan lagi keceriaan, acara sukaneka bagi kanak-kanak telah diadakan dengan melibatkan empat acara yang dikendalikan oleh Kelab PERKIM UniSZA.
Antara permainannya ialah pertandingan mewarna, meniup bola ping pong, balingan kasih dan bola beracun.
Selain itu, dua acara sukaneka bagi golongan dewasa juga diadakan seperti boling kelapa dan mengasingkan kacang.
Program penutup dimulakan dengan ucapan oleh Setiausaha Kehormat PERKIM Cawangan Kuala Nerus, YBhg Dr Mohamad Hafis Amat Simin.
Dr Mohamad Hafis dalam ucapannya mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas kejayaan penganjuran program tersebut.
Katanya, tanpa penglibatan dan kerjasama daripada semua pihak, program tersebut sukar diadakan.
Beliau turut mengharapkan agar program itu diadakan lagi pada masa akan datang.
Ucapan seterusnya disampaikan oleh isteri kepada ADUN Buluh Gading, YM Tuan Roslina Tuan Sulaiman.
Roslina merupakan isteri kepada YB Ridzuan Hashim, ADUN Buluh Gading turut mengucapkan terima kasih di atas kehadiran pengunjung yang sudi memeriahkan suasana dalam usaha untuk mengekalkan perpaduan di dalam komuniti.
Tambahnya lagi, usaha yang baik ini diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan lebih kerap lagi.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.
Dr Ramle dalam ucapannya juga turut mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan program.
Katanya, perancangan yang telah dilakukan sebelumnya telah membuahkan hasil dengan kehadiran pengunjung yang terdiri dari komuniti masyarakat Cina dan juga bangsa lain.
Jelas Dr Ramle lagi, itu adalah usaha untuk memberikan kefahaman Islam kepada golongan bukan Islam dengan lebih dekat lagi.
Beliau turut mengharapkan agar program itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
Turut hadir di dalam Majlis Perasmian ini ialah YBhg. Tuan Haji Mamat Che Chik, Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program) PERKIM Kebangsaan.
Turut diadakan acara penyampaian hadiah sukaneka golongan dewasa dan kanak-kanak dan penyampaian hadiah cenderahati kepada tetamu perasmi dan tetamu kehormat yang lain.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar dan makan tengah hari sebelum bersurai.
Sebelum itu, Dr Ramle Abdullah dan Haji Mamat berkesempatan melawat penempatan warga emas yang tidak mempunyai waris di Rumah Damai Kuala Terengganu.
Ia terletak di kawasan taman tersebut dan sumbangan wang tunai turut disampaikan kepada penghuni rumah jagaan tersebut.
Haji Mamat (dua dari kanan) dan Datin Norhana menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Taman Sri Manir.
Penduduk kampung menerima sumbangan makanan daripada Sulaiman Ding (empat dari kiri).
Penulis menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk berbangsa Cina.
Lawatan ke KOPTER, Kampung Ladang Pelam.
Barisan forum bertajuk Penghayatan Hidup Bertoleransi dijayakan oleh dari kiri (Farhan Tee, Haji Abd Ghafar, Datin Norhana dan Sulaiman Ding).
Antara penduduk setempat yang hadir di forum.
Prof Dr Ramle menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada hadirin.
Pemenang bertuah menerima hadiah daripada Haji Mamat (kiri).
Haji Abd Ghafar menyampaikan hadiah kepada pemenang bertuah.
Prof Dr Ramle (kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk setempat.
Sulaiman Ding mengetuai senaman taichi bersama penduduk setempat.
Penduduk setempat hadir bagi melakukan aktiviti senaman taichi.
Aktiviti mewarna kanak-kanak Taman Sri Manir.
Penduduk mendapatkan pemeriksaan di gerai rawatan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.
Aktiviti sukaneka meniup belon yang disertai oleh kanak-kanak.
Salah satu daripada aktiviti sukaneka kanak-kanak.
Sukaneka boling kelapa disertai oleh masyarakat setempat.
Penduduk setempat bekerjasama dalam acara mengasingkan kacang.
Majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat Bersama Penduduk Kaum Cina Taman Sri Manir.
Prof Dr Ramle merasmikan majlis penutup.
Tuan Roslina (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka.
Prof Dr Ramle (tengah) menyampaikan cenderahati sejambak bunga kepada Haji Mamat.
Barisan penganjur dan urus setia bergambar di akhir program.
Prof Dr Ramle menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Damai Kuala Terengganu.
Haji Mamat mendengar luahan daripada salah seorang penghuni Rumah Damai Kuala Terengganu.