19 April 2014
   Quran |  Sunnah |  Buku Tamu |  Kelas PERKIM |  Forum |  Soalan Lazim |  Sumbangan/Zakat
Terjemah
Carian
                                                                                                                                                                                                                                                                                    

menu utama

Anda Pengunjung Ke :




Visitors


Aktiviti

PERKIM ANJUR PROGRAM SAINS SOLAT

Oleh : MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ankabut : 45)

Hukum solat jatuh pada setiap Muslim yang mukallaf. Solat merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan sejak Nabi Muhammad SAW selepas melalui satu peristiwa besar yang dinamakan Israk Mikraj.

Sebelum itu, umat Islam menunaikan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Akan tetapi, apabila Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW hanya bersolat 5 kali sehari semalam, ia merupakan satu berita yang menakjubkan, di mana manusia diberikan keringanan begitu banyak.

Hampir 10 kali ganda solat dikurangkan semata-mata kerana Allah sangat kasih pada hamba-Nya, yakni Nabi Muhammad SAW.

Namun, masih ramai di kalangan masyarakat Islam mengabaikan solat yang merupakan kefardhuan kepada mereka. Mereka menganggap solat membuang masa dan tidak memberi apa-apa kesan dan manfaat.

Padahal, apa yang mereka lakukan di dunia sebenarnya jauh lebih leka dan terpesong daripada landasan Islam yang sebenar. Solat dipandang enteng dan ramai mengambil langkah mengabaikannya kerana sibuk dengan kehidupan dan kesibukan duniawi.

Allah tidak mensia-siakan apa yang diperintahkan, dan manusia perlulah mengkaji keindahan dan kehebatan Maha Pencipta. Jika tidak, masakan manusia tahu erti bersyukur kerana tidak mencintai Tuhan melebihi dari segala-galanya jika tidak mengetahui kehebatan-Nya.

Ibarat solat selama 5 minit akan merugikan mereka, dan pada waktu itu sahajalah dianggap masa itu emas. Sedangkan terdapat banyak perkara lain lagi yang mengakibatkan masa emas itu tidak bernilai lagi akibat tidak menunaikan solat.

Begitu pula halnya dengan Saudara Muslim yang kadangkala tidak mengetahui kaifiat solat yang diperoleh. Kadangkala, mereka hanya mengikut apa yang dilihat. Kesannya, dibimbangi apa yang dipraktikkan tersebut adalah bertentangan dan terlibat pula dengan bidaah.

Maka, perkara ini pastinya menyebabkan Saudara Muslim tidak khusyuk dan kurang konsisten semasa bersolat. Ia dianggap ritual dan adat sahaja, bukannya ibadat. Pandangan sebegini perlu diubah kerana menyembah Tuhan, yakni Allah bukan perkara yang perlu diambil mudah.

Dia adalah Raja kepada raja dan pastinya segala tumpuan perlu dilebihkan agar pengabdian diri menjadi lebih fokus. Di samping itu, hamba-Nya yang beriman akan memperoleh fadhilat solat tanpa disedari. Terdapat banyak kelebihan dari sudut sains jika kajian terhadap pergerakan solat dikaji.

Oleh yang demikian, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bertindak merungkai persoalan solat berkaitan sains melalui ‘Program Sains Solat: Kebaikan Dari Persepektif Sains’ pada 27 Februari 2011 lalu bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang, Selangor.

Program itu mendapat kerjasama Perkim Cawangan Selayang Baru menjemput pakar penyelidik berkenaan tajuk program ini sebagai pembentang kajian. Antara pembentang pada program itu ialah Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

Tugas Dr. Fatimah di UM ialah memantau dan mengenalpasti penyakit, pengukuran dan model fisiologi, Sistem Mikro Elektro Mekanikal Biologi (BIOMEMS) dan aplikasi kecerdikan buatan dalam perubatan.

Dr. Fatimah menggunakan kaedah pembentangan multimedia kepada 250 peserta yang terdiri daripada kalangan masyarakat awam Selayang, saudara Muslim, guru-guru sekolah, dan pelajar-pelajar sekolah bagi memudahkan pemahaman berkesan kepada peserta.

Pembentangan kajian pertama iaitu aktiviti interaktif 1 yang bertajuk “Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat”. Dr. Fatimah turut menjelaskan bahawa pergerakan di dalam solat amat mempengaruhi kondusi tubuh badan.

“Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu ialah dalam keadaan rehat. Jika dilihat dari sudut ahli fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi,” jelas Dr. Fatimah.

Katanya lagi, di dalam posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang peha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan. Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang.

Jelas beliau lagi, lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu sebelum diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud. Kedudukan begini adalah cara terbaik untuk menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.

Beliau turut memohon salah seorang peserta untuk melakukan demonstrasi di atas pentas bagi menunjukkan kebenaran kajiannya secara nyata. Salah seorang peserta mencuba seperti apa yang diarahkan oleh Dr. Fatimah dan beliau turut bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.

Selepas tamat sahaja pembentangan pertama, majlis perasmian dengan ucapan oleh Naib Pengerusi Perkim Cawangan Selayang Baru, Hj. Hamzah Abdullah.

Hamzah dalam ucapannya, amat bersyukur kerana Perkim Cawangan Selayang Baru terpilih menjadi tuan rumah bagi program itu yang julung kali diadakan. Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak SMK Darul Ehsan yang memberikan kerjasama baik dalam menyediakan prasarana untuk melancarkan lagi program ini.

Hamzah juga mengingatkan para hadirin bahawa solat tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa keadaan sekalipun, dan solat juga khusus untuk Allah. Allah juga akan memberikan balasan terhadap apa yang dikerjakan sesuai dengan amalan yang dilakukan hamba-Nya. Di sebalik solat, Allah memberi ganjaran pahala dan juga kebaikan kesihatan dari sudut sains. Selain mendekatkan diri kepada Allah SWT, kesihatan juga dapat dijaga.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Terlebih dahulu, beliau amat mengharapkan agar sikap aktif sebegini diteruskan agar Perkim terus dikenali dalam medan dakwah dan penyebaran ilmu kepada masyarakat.

Hasbullah juga menekankan aspek kepentingan solat dan menasihatkan agar peserta agar tidak timbul niat menjadikan solat semata-mata untuk menjadi sihat, kerana perkara sedemikian amat bercanggah dengan tujuan menunaikan solat.

Kata Hasbullah lagi, solat adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan. Cuma apa yang ditekankan beliau ialah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.

“Kajian yang dilakukan oleh Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat. Melalui bukti saintifik ini, ia diharap mampu diteruskan ke peringkat lebih jauh demi memberikan maklumat kepada masyarakat.

Aktiviti Interaktif 2 diteruskan dengan tajuk “Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung” di mana Dr. Fatimah memberikan penerangan yang terperinci bahawa jantung memainkan peranan yang amat penting dan sangat berjasa kepada manusia.

Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60-80 denyutan seminit. Akan tetapi bagi atlit sukan, kadar denyutan jantung mereka adalah lebih rendah, iaitu sebanyak 40-60 denyutan seminit.

Peserta diberi kefahaman bahawa, semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga. Kesihatan jantung perlu diambil perhatian yang serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia.

Ia juga dikatakan pembunuh nombor satu negara kerana serangannya berlaku secara senyap dan tidak mengira keadaan. Bahaya yang ditunjukkan akibat serangan jantung begitu membimbangkan, dan beliau telah berjaya menemui bukti saintifik bahawa dengan menunaikan solat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik.

Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi. Denyutan jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit.

Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala. Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat.

Hasil kajian beliau mendapati, posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah.

Selain itu sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan para peserta bertanyakan soalan kepada Dr. Fatimah. Selepas itu, para hadirin dan jemputan dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari sebelum balik.

Turut hadir ialah Ustaz Hj Muhammad Fitri Abdullah, Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM merangkap Naib Pengerusi Perkim Bahagian Selangor.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1198.jpg

Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim sedang menyampaikan pembentangan Aktiviti Interaktif 1 - 'Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat'.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2165.jpg

Para hadirin mendengar pembentangan yang disampaikan oleh Prof. Fatimah menerusi persembahan multimedia.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3147.jpg

Para hadirin sedang menumpukan perhatian semasa pembentangan kajian oleh Dr. Fatimah.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4119.jpg

Prof. Fatimah sedang melakukan demonstrasi pergerakan solat kepada salah seorang peserta.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/579.jpg

Prof. Fatimah menerangkan kebaikan jantung ketika bersujud.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/662.jpg

Antara tetamu kehormat yang hadir.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/757.jpg

Hj. Hamzah Abdullah selaku Naib Pengerusi PERKIM Cawangan Selayang Baru memberikan ucapan aluan.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/857.jpg

Datuk Hj. Hasbullah L. Isa selaku Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan memberikan ucapan perasmian

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/950.jpg

Datuk Hj. Hasbullah merasmikan Program Sains Solat.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1050.jpg

Antara tetamu jemputan dan hadirin yang turut mendengar ucapan perasmian daripada Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1199.jpg

AJK PERKIM Cawangan Selayang Baru dan Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Selangor, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah (dua dari kiri) bergambar bersama dengan Hasbullah (empat dari kanan).


Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Tingkat 4, Bangunan PERKIM, 150 Jalan Ipoh, 51200 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-4041 2482, 03-4042 6224   Faks:03-4042 7403
email: info@perkim.net.my
Semua Hakcipta Terpelihara © 2001-2014 PERKIM
PENAFIAN
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) tidak bertanggungjawab atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang disediakan melalui laman web ini.