21 April 2014
   Quran |  Sunnah |  Buku Tamu |  Kelas PERKIM |  Forum |  Soalan Lazim |  Sumbangan/Zakat
Terjemah
Carian
                                                                                                                                                                                                                                                                                    

menu utama

Anda Pengunjung Ke :




Visitors


Anda di sini : Laman Utama Kelab PERKIM Universiti UIA AKTIVITI / PROGRAM

AKTIVITI / PROGRAM

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/PERKIM%20CLUB%20UIA.jpg   http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/PERKIM%20CLUB%20UIA%20NILAI.jpg 

                                                        PA UIA PJ                                                                                PA UIA NILAI

 

 

PERKIM PAUIAPJ BERBAKTI DI LEGONG, BALING KEDAH

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Foto : IHSAN KELAB PERKIM PAUIAPJ

“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup)” (Ali Imran : 156)

Baru-baru ini Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa cawangan Petaling Jaya (PAUIAPJ) mengadakan Program Jalinan Kasih 6 di Kampung Orang Asli, Lubuk Legong, Baling, Kedah yang disertai seramai 30 orang ahlinya pada 20 Mac 2011 lalu.

Program itu mendapat kerjasama daripada Perkim Kebangsaan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/SUARIZA%20HIDAYAH%20MUHAMMADs.JPGMenurut Pengelola Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu), Suariza Hidayah Muhammad, program itu diadakan adalah untuk mengambil inisiatif dalam membantu penduduk kampung bagi memantapkan ilmu agama Islam dan akidah mereka selain ingin mengenali secara lebih dekat budaya serta cara hidup orang asli.

Katanya, Perkim menggunakan khidmat Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai mediator untuk menjalinkan hubungan akrab dengan segenap lapisan masyarakat dalam menyebarkan dakwah Islamiah secara idealogi berinteraktif dan berkarisma serta menjadikan IPT sebagai penggerak dakwah untuk memberi sokongan padu kepada Institusi Islam di Malaysia.

“Program ini juga bertujuan untuk memotivasikan dan berdakwah kepada mereka di mana segelintir penduduk kampung mempunyai masalah sosial yang serius seperti minum arak, ponteng sekolah, hidu gam dan penyalahgunaan dadah,” kata Suariza.

Katanya lagi penduduk di situ berasal dari suku kaum Kensiu rumpun bangsa Semang-Negrito yang merupakan satu-satunya populasi penduduk orang asli kaum Negrito yang terkecil dan tertua di Semenanjung Malaysia.

“Mereka juga mempunyai pertalian keluarga di Kampung Rai Yala Selatan Thailand serta bilangan penduduk kampung adalah 270 orang dan terdiri dari 70 buah keluarga, manakala 90 peratus merupakan penganut agama Islam dan selebihnya masih berpegang dengan agama asal iaitu animisme,” kata Suariza.

Suariza yang juga Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal sosial berkata, kaum Kensiu sukar untuk ditentukan sifat-sifat fizikalnya kerana di kalangan mereka terdapat empat sub kumpulan Kensiu yang mereka kenali sebagai Mos, Nakil (atau Dalem), Hetot dan Tanjen.

“Purata penduduk kampung itu mempunyai sifat fizikal seperti rambut yang kerinting halus, berbadan gelap, dan rendah setinggi 5 kaki ke bawah, hidung lebar mata bulat mirip orang Afrika Timur dan kebanyakan mereka adalah seperti orang Asli di Papua New Guinea,” jelas Suariza.

Penduduk kampung menjalankan aktiviti pertanian seperti getah dan mengusahakan tanaman ubi, padi, pisang dan jagung di tanah sendiri serta terdapat segilintir di antara mereka mencari sumber pendapatan di luar kampung.

Selain itu, penduduk kampung ini lebih gemar mencari hasil hutan seperti rotan, akar kayu, buluh, kayu depu, dan binatang seperti kura-kura, labi-labi, tupai, monyet, kera dan lotong dan hasil pencarian ini dijualkan kepada masyarakat Cina sebagai pendapatan sampingan.

Kemudahan di kampung itu dilengkapi dengan surau, dewan serbaguna, tabika yang diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan penempatan mereka juga dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air bagi kemudahan penggunaan harian mereka.

Selain itu, mahasiswa mengadakan ziarah dari rumah ke rumah dan memberi hamper berbentuk makanan kepada setiap keluarga untuk mewujudkan sifat ramah mesra bersama mereka serta menjemput mereka bersama-sama menyertai setiap aktiviti yang diadakan.

Sifat pemalu dan rendah diri menjadikan mereka amat sukar untuk mendekati mahasiswa sekiranya tidak dijemput dan berkenal-kenalan terlebih dahulu.

Aktiviti ziarah itu memberi kesan positif kerana penduduk kampung bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan seperti makan bersama-sama dan mengambil makanan yang disediakan untuk dibawa pulang ke rumah.

Melihat program itu tidak mendatangkan bahaya dan kemudaratan, penduduk kampung merestui anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti fardu ain, motivasi diri, solat berjemaah serta mendengar kisah sejarah Islam dan Nabi-nabi.

Keperibadian mulia dan kecantikan akhlak yang ditonjolkan oleh mahasiswa menyebabkan anak-anak penduduk kampung hilang rasa malu dan mudah mesra bersama mereka kerana ikatan kasih sayang perlu dibina atas dasar dakwah Islamiah.

Keadaan ini menjadikan aktiviti sukaneka, gotong-royong membersih kawasan, memasak, motivasi kepada remaja bermasalah serta tayangan gambar mendapat sambutan dari penduduk kampung.

Melalui kemesraan ini digunakan untuk menyampaikan dakwah Islamiah dengan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada penduduk kampung secara langsung atau tidak langsung.

Mahasiswa menjadi contoh ikutan dan idola kepada remaja serta kanak-kanak di kampung itu agar mereka dapat bersama-sama menjejakkan kaki di peringkat universiti.

Para mahasiswa perlu menjaga hubungan baik dan berterusan dengan keluarga angkat masing-masing serta hubungan yang dijalinkan tidak putus walaupun telah selesai program.

Jelas Suariza lagi, mahasiswa haruslah membuat program susulan bagi memastikan penduduk kampung berhijrah kepada cara hidup yang lebih baik sama ada dari sudut ekonomi, pendidikan dan cara pemikiran mengikut perspektif Islam.

“Paling utama ialah perlu dipastikan penduduk kampung kekal dan beriman dengan akidah Islam seterusnya mereka boleh menjadi agen untuk memantapkan akidah dikalangan mereka sendiri,” jelas Suariza.

Selain itu, mahasiswa juga turut mengambil kesempatan beramah mesra dalam sesi perkongsian Institut Pengajian Tinggi (IPT) bersama murid-murid sekolah sewaktu lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Siong, Baling, Kedah.

Malam penutup merupakan malam terakhir di mana diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka acara bola sepak, mencari gula-gula dalam tepung, bawa bola ping pong dalam sudu, sumpit belon, tarik tali, belon air, junjung bola dan tarik guni.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan merangkap Pegawai Sukan di Jabatan Pengurusan Cawangan Latihan dan Sukan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) , Hj. Md. Nor Hashim Mohamed.


APA KATA MEREKA

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/ANITA%20IBRAHIMs.JPGAnita Ibrahim, 14 : Saya sangat seronok dengan sambutan dan aktiviti yang diadakan oleh Kelab Perkim PAUIAPJ dan berharap agar program seperti ini akan diadakan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik khususnya kepada remaja dan kanak-kanak kampung ini.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/SALMAH%20PUCUKs.JPGSalmah Pucuk, 58 : Beliau bersyukur dan berterima kasih kepada mahasiswa sudi datang ke kampungnya dan mengharapkan agar program yang akan diadakan selepas ini lebih lama agar dapat meningkatkan tahap kefahaman dalam mempelajari agama Islam. Walaupun sekejap ianya memberi kesan positif kepada saya dan beliau berasa sedih apabila mahasiswa pulang meninggalkan kampung halamannya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Muhammad%20Marzuqi%20Ramelis.JPGMuhammad Marzuqi Rameli, 20, Penyelaras Program : Alhamdulillah, selain program seperti ini, kami selalu membuat program susulan ke perkampungan orang asli seperti Kampung Pantos, Gahai, Trisu dan sebagainya dengan menggunakan kaedah 3S iaitu senyum, salam dan sapa serta menggunakan pendekatan sayugia iaitu corak dakwah yang berkesan kerana lebih mudah mendekati masyarakat kampung. Kelab Perkim PAUIAPJ haruslah memperbanyakkan slot bimbingan dalam kumpulan untuk pelapis generasi mereka dengan tujuan mengajar mereka dengan lebih terperinci mengenai kesempurnaan solat, wuduk, akhlak, sahsiah, jatidiri dan sebagainya bagi menaiktarafkan cara hidup mengikut syariat Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Siti%20Zaleha%20Mustofa%20@%20Mohd%20Zains.JPGSiti Zaleha Mustofa @ Mohd. Zain, 19 : Saya berasa gembira kerana terdapat nilai-nilai murni yang wujud sepanjang program iaitu semangat bekerjasama, perpaduan, tolong menolong dan permuafakatan antara mahasiswa dan penduduk kampung. Lebih terserlah lagi kemesraan yang mereka tonjolkan pada program sukaneka dan motivasi.

 


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/666.jpg

Mahasiswa berhibur bersama kanak-kanak orang asli.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/762.jpg

Kanak-kanak kampung di ajar mengambil wuduk dengan sempurna.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/11101.jpg

Gotong-royong membersihkan kampung halaman bersama penduduk orang asli.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1443.jpg

Mahasiswa ziarah penduduk kampung sambil menghantarkan makanan.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1739.jpg

Muhammad Marzuqi Rameli selaku Penyelaras Program beramah mesra bersama kanak-kanak kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2228.jpg

Antara penduduk kampung yang menyertai sukaneka acara baling belon air.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2523.JPG

Sukaneka acara tarik guni yang dimeriahkan oleh kanak-kanak kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2722.JPG

Pertandingan menyumpit merupakan budaya tradisi masyarakat orang asli.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2919.JPG

Mahasiswi ziarah sambil menyampaikan hamper berbentuk makanan kepada penduduk kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3018.jpg

Mahasiswa ziarah dan menyampaikan bungkusan berbentuk makanan kepada antara 70 penduduk kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3620.jpg

Penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3520.jpg

Perkongsian hati bersama kanak-kanak kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3817.JPG

Mahasiswa dan kanak-kanak kampung bergambar kenang-kenangan selepas berakhirnya majlis penutupan program Jalinan Kasih 6.

LAGI GAMBAR DI >>> PAUIAPJ KE KOA LEGONG

 

 

______________________________________________________________________________

 

JELAJAH UKHWAH KAMPUNG ORANG ASLI TRISU

Oleh         : Nurul Fattihah Binti Zahari (Penolong Biro Dokumentasi dan Penerbitan Kelab Perkim PAUIAM)
Susunan : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

'Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan bahawa dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa,dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka dalam agama yang telah dia redhai.Dan dia benar-benar mengubah keadaam mereka setelah berada dalam ketakutan. Mereka tetap menyembahku dengan tidak mempersekutukanku dengan sesuatu pun.Tetapi, barangsiapa tetap kafir setelah janji itu,maka mereka itulah tetap orang-orang yang fasik.'(Surah An-Nur:55)

Berdakwah itu bukan hanya terhad dilakukan di masjid mahupun di majlis-majlis ilmu, tetapi pendekatan itu seharusnya lebih luas dan boleh dilaksanakan terus kepada masyarakat.

Baru-baru ini Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (PAUIAM-Kampus PJ) telah menganjurkan program Jelajah Ukhuwah Perkampungan Orang Asli Kampung Trisu, Kuala Tringkap, Cameron Highland, Pahang Darul Makmur.

Seramai 15 peserta terlibat dalam jelajah ini dengan kerjasama Perkim Kebangsaan. Program pada 7 hingga 9 Mei yang lalu ini berjaya dilaksanakan oleh pendakwah muda tersebut.

Menurut Penyelaras Program Hj. Md. Nor Hashim Mohamed, program tersebut bertujuan untuk merapatkan ukhuwah di antara masyarakat perkampungan orang asli dengan pendakwah-pendakwah supaya mereka tidak segan dengan kunjungan masyarakat luar di lain masa untuk mempelajari ilmu-ilmu keagamaan, khususnya masyarakat kampung yang beragama islam walaupun masih ramai masyarakat yang bukan beragama islam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan berkata aktiviti yang menjadi peneraju kejayaan program ini adalah aktiviti anak angkat dan ziarah masyarakat di seluruh kampung tersebut.
“Usaha murni ahli-ahli kelab Perkim PAUIAM ini sangat berkesan kerana melalui lawatan yang dibuat oleh penyelaras dan pimpinan program yang lepas, didapati ramai masyarakat sangat menginginkan kehadiran para pendakwah ini dalam usaha mereka mempelajari ilmu agama Islam,” ujar Md. Nor.

Selama 2 hari berkampung di Kuala Tringkap, banyak aktiviti dapat dilakukan dan didedahkan bersama orang kampung. Antaranya ialah beramah mesra atau suai kenal ahli kelab dengan masyarakat rumah ke rumah, aktiviti masak-memasak bersama penduduk kampung dan diselangi dengan permainan seperti batu seremban, ’dart’, catur dan dam.

Program disusuli pada sebelah malamnya dengan sesi berkongsi pengalaman oleh ahli-ahli kelab dan masyarakat selepas menunaikan solat dan mendengar tazkirah daripada ahli kelab itu sendiri yang diketuai oleh Muhammad Marzuqi pelajar jurusan Seni Bina PAUIAM.

Daripada perkongsian itu,mereka menceritakan asal usul nama kampung dan masalah-masalah yang sering dihadapi oleh mereka. Mereka berkata kebanyakan penduduk kampung ini mendapat pendidikan awal daripada Sekolah Kebangsaan Terisu di Kampung Pos Trisu dan mereka terpaksa menyewa van untuk ke sana. Kekangan ini timbul disebabkan kampung ini terletak jauh di pedalaman dan keadaan jalan yang tidak sempurna.

Begitu juga dengan pendidikan agama yang diterima agak tidak konsisten dan berterusan dek kerana masalah pengangkutan dan tempat tinggal yang dialami oleh guru agama yang lebih selesa tinggal di Tanah Rata walaupun ada beberapa rumah disediakan di sekitar sekolah.

Sementara itu, mereka tidak lepaskan peluang untuk melawat kebun-kebun tanaman orang kampung yang diterajui oleh Tok Batin. Hal ini kerana, berkebun adalah sumber utama pendapatan orang kampung. Kami dibawa melawat kebun sayur-sayuran seperti tomato, sawi, jagung, kacang panjang, lada dan lain-lain serta diberi pendedahan dan tunjuk ajar cara dan kaedah penjagaan tanaman dengan betul.

Selain itu, peserta juga berkesempatan menghadiri jamuan makan malam bersempena meraikan Hari Ibu pada 9 Mei bagi mengenang jasa dan pengorbanan seorang ibu yang telah mengandungkan, menyusukan, menyuapkan makan dan minum, mendodoi dan menidurkan, mendidik serta membesarkan hingga dewasa. 

Destinasi terakhir, peserta di bawa melawat dan ziarah ke Kampung Trimau dan Kampung Pos Trisu yang menepatkan sekolah rendah bagi anak-anak di situ dengan menaiki trak.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka disampaikan oleh Hj. Md. Nor Hashim Mohamed dan wakil ahli kelab Nurul Najihah Ismail dan Maziah Mat Abdul Ghani.

Majlis diserikan lagi dengan berselawat dan bersalam-salaman antara peserta dan masyarakat kampung tanda berakhirnya program tersebut sehingga ada di antara mereka yang menitiskan air mata tanda kasih dan rindu untuk berpisah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1101.jpg

Penerangan tanaman sayur-sayuran di kebun salah seorang penduduk kampung orang asli

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/249.jpg

Peserta di bawa ziarah dan melawat ke perkampungan berhampiran dengan menaiki trak.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/436.jpg

Aktiviti permainan oleh penduduk kampung dan peserta seperti dam, batu seremban dan lain-lain.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/524.jpg

Aktiviti bermain dam oleh kanak-kanak kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/619.jpg

Antara aktiviti gotong-royong memasak bersama masyarakat kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/716.jpg

Penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/816.jpg

Peserta dan masyarakat kampung bergambar kenang-kenangan di akhir program.

 

 

 ___________________________________________________________________________________________________

 

 

 

JALINAN KASIH ORANG ASLI PANTOS 

 OLEH: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang).
(Al-Ahzab ayat 21)

Sejajar dengan tema Maulidur Rasul ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ di seluruh negara, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) kampus Petaling Jaya telah menerajui kerjasama dengan Perkim Kebangsaan dan Perkim Bahagian Negeri Pahang mengadakan Program Jalinan Kasih ke 5 di Perkampungan Orang Asli Pantos, Kuala Lipis, Pahang bermula dari 25 hingga 28 Februari yang lalu.

Program yang bertemakan ‘Ukhwah Dibina Kasih Terjalin’ ini telah berjalan dengan lancar dan menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Berdasarkan pemantauan yang dibuat pada lawatan yang lepas, didapati hampir keseluruhan masyarakat kampung sangat berminat dalam mempelajari dengan lebih mendalam tentang agama Islam.

Dengan melibatkan jalinan kerjasama pelbagai pihak lain seperti Yayasan Taqwa, Muslim Aid, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga dari JKKK Kampung Pantos sendiri, banyak pengisian menarik telah berjaya diadakan sepanjang program dijalankan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Hj.%20Md%20Nor%20Hashim%20Mohamed.jpgMenurut Penyelaras Program yang juga Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan , Hj. Md. Nor Hashim Mohamed, 52, aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep jalinan keluarga angkat.

Seramai 40 mahasiswa telah diterima sebagai anak angkat kepada penduduk kampung.

Mereka telah diberi peranan untuk mewujud dan menjalinkan hubungan serta kemesraan dengan keluarga angkat mereka untuk jangka masa panjang. Selain bantuan dari aspek pembelajaran kepada adik-adik angkat, mereka juga diminta mempraktikkan sifat kecaknaan kepada keluarga angkat mereka dalam semua aspek termasuk kebersihan, kesihatan dan keagamaan” ujar beliau.

Beliau yang juga Pegawai Sukan di Jabatan Pengurusan Cawangan Latihan dan Sukan, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) berkata, kejayaan mewujudkan keluarga angkat ini amat bermakna bagi semua pihak yang terlibat kerana inilah kali pertama masyarakat kampung tersebut bersedia menerima anak angkat.

“Selain dari itu program integrasi pada kali ini juga mencipta sejarah tersendiri bagi penduduk kampung kerana telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan berselawat, syarahan, ceramah dan sebagainya,” kata Md. Nor.

“Dengan mengingati Nabi Muhammad S.A.W akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepada Baginda serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangan Baginda. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan,” jelas Md. Nor.

Qiamullail juga turut diadakan antara mahasiswa bersama penduduk kampung dengan mengerjakan solat Sunat Taubat, Tahajjud, Hajat, Tasbih, Witir dan lain-lain, serta amalan-amalan seperti membaca Al-Quran , berzikir , beristighfar, berdoa dan sebagainya yang diketuai oleh Wan Ahmad Rahiman Wan Hussien selaku Penasihat Kelab Perkim PAUIAPJ.

Pelbagai aktiviti lain juga diadakan seperti acara memasak nasi dalam buluh, lemang, ubi bakar, pertandingan motivasi kepada anak-anak kampung, tayangan multimedia, bawa bola guna sudu, cari bijih timah, bawa bola guna kepala, racun beracun, menongkah arus dan sumpit dan bola sepak.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Rahman%20Dollah.JPGSementara itu, Tok Batin Kampung Pantos, Rahman Dollah 75, berkata, program keluarga angkat ini amat bermakna bagi semua pihak yang terlibat, kerana inilah pertama kali seramai 190 masyarakat kampung tersebut menerima anak angkat walaupun program tersebut berlainan pengisiannya. Selama ini mereka yang dari kaum Semai bersifat kurang dekati dan malu pada pengunjung.

Menurut Rahman, Kaum Semai adalah kumpulan penduduk separuh kekal yang terdapat di tengah semenanjung Malaysia di Asia Tenggara. Mereka terkenal sebagai suku kaum yang aman. Suku Semai mengamalkan bercucuk tanam dan amalan ekonomi bertukar barangan (sistem barter). Mereka antara suku kaum asli yang berundur ke kawasan hutan dan gunung dengan ketibaan penduduk yang memiliki teknologi lebih tinggi.

Pekerjaan utama penduduk kampung ini adalah mencari hasil hutan seperti gaharu, cendana, kacip fatimah, tongkat ali, kelapa sawit dan getah.

“Dengan adanya program muhibbah dan kerjasama yang positif dipamerkan oleh mahasiswa tersebut, adik-adik angkat ini menanam hasrat ingin mencapai cita-citanya ke menara gading seperti mereka.” ujar Rahman.

Program tiga hari dua telah disempurnakan perasmian penutupnya oleh Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad.

Di dalam ucapannya, Suariza telah menjelaskan tentang prinsip sebenar agama Islam yang bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan. Islam bukanlah agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan.

Beliau menyeru kepada masyarakat kampung agar menghayati ajaran Islam yang sebenar dan bukanlah Islam hanya pada nama. Pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sentiasa berusaha membantu masyarakat kampung untuk maju dan mendalami ajaran Islam melalui perlantikan penggerak masyarakat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga menyediakan kemudahan infrstruktur seperti bekalan elektirk, air, telekomunikasi, surau, pusat aktiviti dan sebagainya.

Pada ketika ini masyarakat kampung terpaksa menggunakan sumber air daripada sungai dan bukit serta mendapat bekalan elektrik dengan menggunakan tenaga solar.

Suariza bersama-sama mahasiswa menyampaikan 300 sumbangan makanan asasi seperti beras, biskut, teh, susu, tepung, gula, sardin dan sebagainya kepada penduduk Kampung Pantos, Kampung Gahai dan Kampung Bertang di Sungai Koyan, Kuala Lipis.

Aspek pendidikan juga turut disentuh oleh beliau, khususnya dalam melaksanakan hasrat kerajaan untuk menyifarkan golongan buta huruf di negara ini. Menurut beliau, dengan pelajaran masyarakat kampung akan bertambah maju dan boleh menguruskan hidup mereka dengan sempurna di masa akan datang.

Selain itu, Suariza juga telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan sukaneka yang telah diadakan.

Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat kampung semakin menunjukkan kesan yang baik dari masa ke semasa khusus dalam aspek membudayakan cara hidup Islam di kalangan mereka.

Majlis diserikan lagi dengan nyanyian Asmaul Husna, penyampaian sajak ‘Kenanganmu Kampung Pantos’ oleh Norhidayu Mat dan persembahan video bertajuk ‘Jalinan Kasih Kampung Pantos’.

Turut hadir ialah Pengarah Dakwah, Hj. Abdul Hanif Harun, Yang Dipertua Kelab Perkim PAUIAPJ, Muhd. Kamarul Izad Muhammad Nazri dan Pengarah Program Jalinan Kasih, Mohd. Lokman Faivdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Janiah%20Atim.JPGJaniah Atim 29, penduduk kampung Pantos berkata, semoga usaha-usaha murni untuk mendekati bersama penduduk kampung akan menjadi program berkala kerana segala motivasi, pelajaran, pendidikan serta keperibadian sikap yang ditonjolkan oleh mahasiswa kepada penduduk kampung sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi dan tanggapan mereka tentang agama Islam. Beliau juga berharap agar mereka di beri pendedahan melawat ke ibu negara untuk mengenal era teknologi dan kemajuan yang serba canggih.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Muhammad%20Izzat.JPGMuhammad Izzat Shamsudin 19, jurusan Pra-Ijazah Kejuruteraan merangkap Biro Jawatankuasa Unit Pembangunan Kelab Perkim PAUIAPJ berkata, program seperti ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa belajar cara hidup lingkungan kurang selesa supaya dapat mempraktikkan sikap wasatiah dalam kehidupan. Ia juga memberi peluang kepada pelajar mengenal kawasan pedalaman dan bentuk geografi, sikap dan budaya hidup penduduk kampung. Beliau berharap dengan kerjasama pelbagai organisasi ianya dapat menaiktarafkan kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik dan impak positif sejajar dengan pergu minda.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Hidayah.JPGHidayah Abd. Halim 20, jurusan Pra-Ijazah Bio Sains merangkap Timbalan Yang Dipertua Kelab Perkim PAUIAPJ berkata, mendekati komuniti orang asli juga sebahagian sebagai dakwah dan merupakan satu kebajikan yang amat dituntut. Golongan mereka ini acapkali dilupakan dalam arus modenisasi dan globalisasi kini. Beliau berharap ianya dapat menjadi medium yang berkesan untuk mereka untuk memahami serta menghayati Islam dengan lebih baik disamping memberikan pengalaman manis serta pengajaran kepada peserta. Kelab ini perlu dipertambahkan lagi dengan bengkel seperti Busana Muslim,pertandingan penghayatan Islam merangkumi kuiz, pertandingan azan, membaca puisi Islamik dan juga latihan nasyid kepada penduduk kampung.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/136.JPG

Suasana dan keadaan rumah orang asli Kampung Pantos.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/77.JPG

Mahasiswa dan wanita penduduk kampung sedang menyiapkan makanan nasi dalam buluh yang menjadi makanan kegemaran penduduk kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/137.JPG

Membawa bola pingpong menggunakan sudu antara sukaneka kategori kanak-kanak kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/155.JPG

Antara kanak-kanak kampung yang sedang menunggu giliran untuk sukaneka.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/242.JPG

Suariza (tiga dari kanan) bersama mahasiswa kelab Perkim menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada Asma Rembek (tiga dari kiri).

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/262.JPG

Mohd. Ikmal (dua dari kiri) selaku Pegawai Perkim Bahagian Negeri Pahang menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan kepada Jantan Wah (tengah).

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/322.JPG

Suariza (berbaju biru) selaku Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/282.JPG

Mahasiswa menaiki bot untuk menghantar sumbangan makanan kepada penduduk kampung Bertang.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/392.JPG

Sajak yang bertajuk ‘Kenanganmu Kampung Pantos’ yang disampaikan oleh Norhidayu Mat kepada penduduk kampung.

 

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/491.JPG

Mahasiswa menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/521.JPG

Kepimpinan Perkim bersama mahasiswa dan penduduk kampung Pantos bergambar kenang-kenangan.

 

LAGI GAMBAR DI >>> ORANG ASLI KG. PANTOS

 

 

 

____________________________________________________________________________

 

 

 

JALINAN KASIH BERSAMA ORANG ASLI KAMPUNG RANTAU

PERKIM Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah berjaya melaksanakan program Jalinan Kasih IV di Kampung Rantau, Cameron Highlands. Kelab PERKIM telah mendapat kerjasama dan sumbangan daripada PERKIM Kebangsaan, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (MAIWP), Students Activities Department (STAD) Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya, PERKIM Pahang, PERKIM Selangor, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Jabatan Agama Islam Cameron Highlands.

Para peserta ke Kampung Rantau iaitu pada 5,6 dan 8 Mac baru-baru ini. Di antara objektif utama program ini dijalankan ialah, untuk memberi pendedahan yang mendalam tentang Islam kepada komiti orang Islam di Kampung Rantau, menjana semangat ukhwah antara ahli PERKIM, memberi pendedahan tentang gaya hidup orang asli kepada ahli PERKIM dan melakukan susulan lanjutan terhadap pemantauan kepada komiti orang Islam di Kampung Rantau.

Semua peserta Jalinan Kasih IV berkumpul di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) Petaling Jaya. Para peserta yang mengikuti program ini berjumlah 60 orang yang terdiri daripada PAUIAM Petaling Jaya, PAUIAM Nilai, UIA Gombak, UIA Kuantan dan PERKIM Kebangsaan. Sebelum bertolak, para peserta diberi penerangan tentang perlaksanaan program ini.

Para peserta bertolak dari PAUIAM PJ pada jam 1.30 pagi. Perjalanan mengambil masa selama 4 jam untuk tiba di Ringlet. Setibanya di Ringlet, semua peserta berehat di surau sebelum meneruskan perjalanan ke Kg. Rantau esok paginya. Pada jam 8.00 pagi, kami bertolak ke Kampung Rantau dengan menaiki trak. Kedatangan kami disambut mesra oleh penduduk Kampung. Aktiviti kami yang pertama ialah gotong-royong membersihkan persekitaran rumah. Kami berpeluang untuk makan dan solat berjemaah bersama penduduk kampung.

Waktu petang diisi dengan pengagihan barang-barang makanan kepada para penduduk. Semua peserta mengambil peluang untuk mengenali dengan penduduk kampung dengan lebih dekat. Di sana, terdapat 7 buah rumah orang Islam dan 7 buah rumah bukan Islam. Pada waktu malam kelas IQRA’ telah diadakan. Kelas ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk kampung yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa.

Selesai tazkirah dan sarapan pada pagi 8 Mac 2009, peserta menjalankan aktiviti kembara alam. Para peserta diiringi oleh anak-anak penduduk kampung untuk menikmati suasana air terjun di Kampung Rantau. Perjalanan yang mengambil masa 30 minit memberikan kepuasan kepada para peserta setelah dapat mandi-manda di air terjun tersebut. Setelah pulang dari aktiviti kembara alam, kami mengadakan praktikal wuduk dan solat kepada penduduk. Penduduk kampung yang mengikuti praktikal ini bukan sahaja terdiri daripada penduduk Islam malah mendapat sambutan daripada penduduk bukan Islam.

Pada jam 12 tengahari, peserta daripada UIA Gombak dan Kuantan terpaksa pulang ke kampus masing-masing. Pada sebelah petang, beberapa aktiviti telah diadakan. Selesai solat Asar, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan aktiviti yang berlainan pada satu masa.

Antara aktivitinya ialah, slot kebersihan diri, fiqh wanita, kerja pemasangan paip dan lawatan ke rumah penduduk bukan Islam. Setelah makan malam dan solat maghrib, kami mengadakan tazkirah berkaitan Ketuhanan agar penduduk kampung yakin dan faham dengan lebih mendalam tentang Islam. Aktiviti dengan penduduk kampung berakhir dengan solat Isyak.

Hari Isnin di sana bagaikan satu rahmat bagi setiap peserta kerana kami dapat menyambut Maulidur Rasul bersama penduduk Kg. Rantau. Sambutan ini adalah program khas bagi Jalinan Kasih pada kali ini. Di awal pagi, satu tazkirah tentang Nabi Teragung telah disampaikan oleh Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong. Selepas itu peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

Terdapat kumpulan yang menyiapkan kain rentang untuk sesi perarakan, terdapat peserta yang melatih anak-anak penduduk kampung membuat persembahan untuk sambutan maulidur Rasul, dan sebahagian lagi menjemput penduduk kampung untuk bersama-sama kami meraikan Maulidur Rasul pada petangnnya Satu perarakan Maulidur Rasul telah dilaksanakan pada petang tersebut.

Aktiviti ini mendapat sambutan daripada penduduk Islam dan bukan Islam. Setelah selesai perarakan, penduduk kampung dikumpulkan di surau. Kami mengambil peluang ini untuk menerangkan dengan lebih mendalam tentang Rukun Islam dan Rukun Iman kepada penduduk. Acara mengacau bubur asyura dijadikan sebagai aktiviti tambahan. Sekali lagi, kami mengambil peluang untuk bermesra bersama penduduk kampung. Anak-anak penduduk sungguh ceria bermain bersama para peserta.

Banyak perkara tentang kehidupan penduduk yang dikongsikan bersama para peserta. Pada sebelah malam, satu ceramah yang bertajuk Ku Damba Cintamu Ya Rasulullah yang telah disampaikan oleh ustaz yang telah ditugaskan di perkampungan orang asli. Aktiviti berakhir dengan persembahan ringkas daripada anak-anak orang kampung.

Pada hari terakhir program, ahli kelab bersama-sama masyarakat kampung orang asli menghias dan mencantikkan surau serta mengadakan gotong-royong di sekitar kampung. Selesai aktiviti tersebut, semua penduduk kampung dijamu dengan pelbagai makanan.

Sebelum pulang, para peserta mengagihkan sumbangan yang terakhir kepada penduduk kampung serta bergambar kenangan. Semua ahli Kelab PERKIM Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersalam-salaman dan mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung kerana silaturahim di antara mereka sangat baik sebelum keberangkatan pulang. Mereka dihantar oleh penduduk kampung dengan harapan agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Semoga usaha kecil ini mampu mendekatkan diri peserta kepada kehidupan penduduk kampung orang asli dan ingin terus kekal pada jalan dakwah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/11.JPG

Pegawai Dakwah PERKIM, Ustaz Sulaiman Ding (berbaju kuning) bersama pelajar kelab PERKIM dan orang asli.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/21.JPG

Aktiviti mesra dan suai kenal kanak-kanak orang asli.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/31.JPG

Aktiviti gotong royong Kelab PERKIM UIA mengecat dan mencantikkan kawasan sekolah.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/41.JPG

Masyarakat orang asli kampung Sungai Pergam bersama Ahli Kelab PERKIM

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/51.JPG

Ceramah "Ku Damba Cintamu Ya Rasulullah"  yang disampaikan oleh ustaz dari kalangan orang asli.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/61.JPG

Penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka yang disampaikan oleh Ustazah Suariza selaku Pengarah Program (berbaju merah)

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/71.JPG

Aktiviti perdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran & Yasin oleh Muslimah

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/81.JPG

Bekerjasama dan bergotong-royong membersih serta memelihara kawasan kampung.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/91.JPG

Ahli Kelab PERKIM memberi sumbangan berbentuk makanan dan mengagihkan kepada penduduk orang asli.

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/10.JPG

Masyarakat kampung bersama-sama membaca majalah Suara PERKIM

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/111.JPG

Muslimah Kelab PERKIM bergambar kenangan bersama-sama masyarakat orang asli Kampung Rantau

 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/121.JPG

Muslimin Ahli Kelab PERKIM bergambar kenangan bersama-sama masyarakat orang asli Kampung Rantau. 


Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Tingkat 4, Bangunan PERKIM, 150 Jalan Ipoh, 51200 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-4041 2482, 03-4042 6224   Faks:03-4042 7403
email: info@perkim.net.my
Semua Hakcipta Terpelihara © 2001-2014 PERKIM
PENAFIAN
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) tidak bertanggungjawab atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang disediakan melalui laman web ini.