Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar. (an-Nisa': 39)
Setiap individu Muslim berkewajipan untuk berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerakan untuk melakukan sesuatu tanpa ditangguh-tangguh.
Sempena Ramadan yang penuh barakah ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mempergiatkan lagi jelajah kebajikan dengan menziarahi saudara Muslim yang memerlukan di sekitar Lembah Klang.
Dengan keprihatinan penderitaan dan bebanan yang ditanggung oleh seorang pesakit saudara Muslim yang menghidap penyakit jantung, paru-paru, buah pinggang dan lemah daya tenaga, Perkim menziarahi Fatemah Abdullah, 66.
Ziarah itu dilakukan oleh Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) diketuai oleh Suariza @ Hidayah Muhammad dan beberapa kakitangan di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul, Kuala Lumpur.
Fatemah, berbangsa Cina yang memeluk Islam pada usianya 25 tahun tidak pernah mengabaikan peranannya dalam melakukan ibadah sebagai seorang Muslim. Meskipun terpaksa berhadapan dengan penyakit dialaminya, namun ianya bukan penghalang buat beliau untuk mengerjakan ibadah solat, puasa dan tarawih.
Beliau tidak dapat menahan untuk berpuasa pada pertama kali pengalamannya selepas memeluk Islam sakit gastrik yang dialaminya sehingga berjaya 3 tahun selepasnya. Beliau terpaksa berpuasa dan berbuka seorang diri semenjak suaminya meninggal dunia 41 tahun lalu akibat serangan jantung.
Namun Fatemah bernasib baik kerana jirannya Fatimah Husin dan anaknya Elfazijah menjadi teman di kala kesunyian.
Akibat penyakit yang dihidapinya, dia tidak mampu menampung perbelanjaan serta keperluan rumahnya dan hanya bergantung kepada wang bantuan RM600 masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sehubungan itu, Suariza menyarankan pihak yang berkenaan tampil membantu meringankan kesempitan hidup yang dihadapi oleh Fatemah sejak 6 tahun lalu sekali gus memberi bantuan yang sewajarnya.
"Kediamannya yang kelihatan agak uzur, siling bocor dan dinding papan yang reput membahayakan untuk mereka terus tinggal di rumah tersebut," katanya.
Atas ehsan daripada Perkim, Suariza menghulurkan sumbangan RM100 dan hamper berbentuk makanan asasi kepada wanita tersebut.
Unit Kebajikan dan Kaunseling meneruskan penjelajahan kebajikannya lagi ke rumah ibu tunggal saudara muslim terletak di Taman Bidara Selayang, Selangor.
Ibu saudara Muslim yang dikenali sebagai Masyitah Abdullah 37, sebelum ini beragama Kristian Katolik berasal dari Indonesia adalah salah seorang yang aktif di dalam aktiviti-aktiviti dan kelas pengajian Perkim. Beliau terpaksa menyara empat orang anaknya di mana salah seorang daripadanya mengalami kecacatan fizikal dan penyakit sawan sewaktu dilahirkan.
Beliau menjelaskan ianya terjadi disebabkan jangkitan otak yang digelar 'Encephalatis' ataupun 'Meningitis' ataupun kecederaan otak yang berlaku ketika bayi dilahirkan melalui kaedah 'forceps' atau sedutan vakum.
Beliau dan suaminya Azman Kang berbangsa Cina mendapat hidayah memeluk Islam apabila Norashikin iaitu anak yang kurang upaya tersebut berhenti menangis setiap kali laungan azan di televisyen, radio dan surau berdekatan kedengaran.
Sehingga kini beliau mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak meringankan bebanan beliau dalam menguruskan kebajikan anaknya iaitu bantuan kerusi roda dan lampin pakai buang.
Atas ehsan daripada Perkim, Suariza menghulurkan sumbangan RM100 dan hamper kepada beliau.
Penjelajahan kebajikan Unit Kebajikan dan Kaunseling diteruskan lagi ke rumah ibu tunggal di Bandar Baru Sungai Buloh.
Ibu tunggal yang dikenali sebagai Zureen Ng Abdullah 58, telah berpisah bersama suaminya sejak 13 tahun yang lalu kerana tidak bersefahaman, namun ianya batu penghalang untuk beliau memperkukuhkan lagi ilmu agama. Sebelum ini beliau sangat aktif menghadiri kelas Perkim untuk belajar dan mendekatkan diri dengan Islam, bersama saudara Muslim lain.
Beliau yang berbangsa Cina dan telah menetap di sini selama 17 tahun bersedih tidak berupaya lagi menghadiri kelas-kelas pengajian di Perkim dan di surau-surau berdekatan akibat mengidap penyakit sendi kronik atau osteoarthritis.
Kata beliau, penyakit tersebut menyerang sendi terutama tangan, lutut, tulang belakang dan pinggul di mana sendi terasa ngilu akibat bengkak kecil yang timbul kerana geselan hujung-hujung tulang antara sendi.
Beliau yang mempunyai anak lepasan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bersyukur kerana diberi bantuan kebajikan dan pendidikan anaknya dari Pusat Zakat Selangor (PZS) serta sumbangan orang ramai.
Ketika menziarahi Zureen, Suariza dan Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan telah menyampaikan risalah Perkim dan sumbangan sebanyak RM100 serta buah tangan kepada beliau.
Ini adalah satu kaedah merapatkan lagi ikatan silaturahim antara Perkim dan warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal kerana mereka memerlukan kasih serta ihsan dari keluarga Perkim.

Kediaman Fatemah Abdullah yang usang di Kampung Chu Badak, Sentul, Kuala Lumpur.

Nasibnya masih tidak berubah meskipun beberapa kali kisahnya mendapat perhatian di ruangan majalah dan akhbar.

Pegawai Perkim bergambar bersama-sama sambil menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan dan wang sumbangan RM100.

Masyitah Abdullah bersama anaknya Norashikin yang mengalami kecacatan fizikal dan penyakit sawan sewaktu dilahirkan.

Pegawai Perkim menyampaikan sumbangan buah tangan dan wang kepada Masyitah Abdullah dan anaknya.

Suariza dan Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan menyampaikan dan sumbangan sebanyak RM100 serta buah tangan kepada Zureen Ng Abdullah.
LAGI GAMBAR DI >>> KEBAJIKAN RAMADAN